fb fb fb fb fb

Tiga individu warga tempatan bekal senjata, jadi pemandu warga Israel ditahan - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Polis menahan tiga individu warga tempatan termasuk seorang wanita yang disyaki membekal senjata api dan menjadi pemandu kepada warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata dua individu iaitu pasangan suami isteri berusia 40 dan 42 tahun ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira 7.30 malam tadi

Beliau berkata hasil siasatan polis menemukan sepucuk pistol dalam kereta jenis Honda Jazz milik pasangan itu.

Katanya pasangan terbabit mengaku membeli pistol itu di negara jiran untuk diserahkan kepada lelaki warga Israel tersebut.

"Siasatan awal mendapati pasangan terbabit membekalkan beberapa pucuk senjata api kepada warga Israel itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Razarudin berkata seorang lelaki berusia 38 tahun yang bertindak sebagai pemandu kepada warga Israel itu turut ditahan Cameron Highlands, Pahang.

"Kesemua mereka kita tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Semalam,  Razarudin dilaporkan berkata seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lepas.

Beliau berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

Razarudin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN