fb fb fb fb fb

PDRM tumpaskan sindiket seludup, edar dadah bernilai RM10.3 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin

SHAH ALAM, 30 Mac- Satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah tumpas selepas empat lelaki tempatan diberkas polis bersama rampasan dadah bernilai RM10.3 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak awal Oktober 2023 itu membawa masuk bekalan dadah dari negara jiran melalui sempadan utara Semenanjung Malaysia menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai dengan ruangan khas.

"Ia dibawa masuk melalui jalan darat dan kemudian singgah di pertengahan, negeri Kedah dan simpan di stor."

"Selepas mengesahkan mereka tidak diekori, mereka akan terus bawa ke Lembah Klang, serbuan yang kita buat di rumah tersebut di Selangor," kata Datuk Khaw dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, petang tadi.

Dadah jenis syabu seberat 312.7 kilogram ditemui dalam kenderaan di sebuah rumah teres dua tingkat di Shah Alam dalam serbuan pada 27 Mac lalu.

Bekalan dadah itu dianggarkan boleh digunakan untuk 1.6 juta orang penagih dadah di sekitar Lembah Klang.

Kempat-empat suspek berusia lingkungan 23 hingga 40 tahun itu didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM