POKOK SENA, 12 Mac – Sekumpulan pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal bertindak merusuh di sebuah kilang perindustrian di Jabi, di sini dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan kelewatan pembayaran gaji.
Video berdurasi satu minit 11 saat yang tular di aplikasi TikTok memaparkan beberapa individu, dipercayai pekerja kilang terbabit, bertindak agresif dalam kejadian yang berlaku tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 1.05 tengah hari sebelum sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati rusuhan berlaku sekitar pukul 12.05 tengah hari akibat pertelingkahan antara sekumpulan pekerja dengan dua penyelia kilang tersebut. Ketidakpuasan hati mengenai kelewatan pembayaran gaji dipercayai menjadi punca kejadian," katanya.
Menurut beliau, insiden itu turut menyaksikan adegan tolak-menolak yang mengakibatkan tiga individu mengalami kecederaan ringan.
Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Setakat ini, keadaan di lokasi kejadian dilaporkan terkawal dan difahamkan isu pembayaran gaji telah diselesaikan oleh pihak syarikat terbabit.