JOHOR BAHRU, 12 Mac – Polis sedang mengesan dua individu yang terlibat dalam kejadian pertengkaran di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) menghala ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang melihat video insiden tersebut tular di media sosial, semalam.
"Video berdurasi 27 saat itu memaparkan pertengkaran antara seorang pemandu lelaki dengan seorang lagi individu. Suspek dilihat mengacah mahu memukul mangsa menggunakan sebatang kayu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ACP Raub, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.