fb fb fb fb fb

Rumah nenek jadi stor simpanan dadah, dibayar RM2,000 sebulan

Sebuah rumah yang diduduki oleh seorang lelaki bersama neneknya, di Kampung Paya Datu, di sini diserbu polis setelah menerima upah untuk dijadikan sebagai stor simpanan dadah bernilai lebih RM400,000

KUALA TERENGGANU, 23 April - Sebuah rumah yang diduduki oleh seorang lelaki bersama neneknya di Kampung Paya Datu, di sini diserbu polis setelah menerima upah untuk dijadikan sebagai stor simpanan dadah bernilai lebih RM400,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia sekitar 20-an itu diberkas pada pagi Ahad bersama sejumlah dadah jenis heroin dan pil kuda di dalam sebuah bilik.

"Bekalan dadah dipercayai diperolehi daripada negara jiran dan dibawa masuk untuk pasaran dalam daerah Kuala Terengganu dan juga daerah sekitar kawasan daerah Kuala Terengganu," katanya pada sidang media, di sini.

Hasil siasatan awal mendapati suspek telah menerima upah untuk menjaga stor simpanan bekalan dadah itu sejak Disember lalu.

Pada serbuan itu juga, polis turut menyita sebuah motosikal dan wang tunai RM240 yang dipercayai hasil dari kegiatan urusniaga dadah tersebut.

Tambah Azli, polis sedang giat memburu beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dengan penahanan lelaki berkenaan.

Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN