fb fb fb fb fb

Datuk, isteri didakwa salah guna kuasa, kemuka tuntutan palsu

Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini

KUALA TERENGGANU, 22 April- Bekas ahli majlis sebuah badan kerajaan di Terengganu dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan salah guna kuasa dan tuntutan palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan lima tahun lalu berjumlah hampir RM20,000.

Tertuduh, 64, berdepan satu pertuduhan, manakala isterinya, 41, berdepan lapan pertuduhan.

Bagaimanapun, suami isteri terbabit mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Tertuduh yang ketika itu sebagai Ahli Jawatankuasa Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu menggunakan jawatannya melantik syarikat kutipan zakat milik isterinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut seksyen 24(1) Akta yang sama. 

Tertuduh didakwa menipu tuntutan bayaran balik 2/8 bahagian (fakir & miskin) sedangkan tuntutan tersebut tidak dibuat oleh pembayar zakat berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Puan Farah Yasmin Salleh, manakala suami isteri itu diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah menetapkan 20 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes. 

SITI AISHAH MD ISA