KULAI, 2 November - Seorang wanita, 41 tahun kerugian kira-kira RM510,000 selepas rumahnya di Taman Putri, di sini hangus terbakar dalam satu kejadian khianat, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kebakaran disyaki berpunca daripada pembakaran mercun.
Susulan itu, seorang lelaki tempatan, 30 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing, 23 tahun ditahan dipercayai melakukan perbuatan itu dengan menggunakan mercun sehingga menyebabkan kebakaran.
"Lelaki tempatan itu ditahan pada 31 Oktober di rumahnya di Taman Putri manakala warga asing berkenaan, di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, semalam," kata Tan Seng Lee dalam satu kenyataan.
Turut dirampas pelbagai jenis mercun. Suspek warga asing itu juga positif ganja.
Kedua-dua suspek direman hingga 6 November ini, bagi membantu siasatan mengikut seksyen 435 kanun keseksaan dan seksyen 8 Akta Bahan Letupan.