SHAH ALAM, 25 Mei- Ahli perniagaan kerugian RM5.3 juta selepas diperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi laman sesawang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa lelaki berusia 67 tahun pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan ‘Primus Pacific Partners’ sebelum menekan pautan dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk memperdaya mangsa melalui iklan di aplikasi Google mengenai tawaran pelaburan ‘Primus Pacific Partners’.
“Siasatan mendapati, mangsa menekan link di iklan dan disambungkan ke aplikasi Whatsapp, kemudian berhubung melalui panggilan telefon dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai Ms Ng sebagai tenaga pengajar dalam pelaburan itu.
“Mangsa diberi penerangan dan dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan selepas seminggu mengikuti pelaburan terbabit,suspek (Ms Ng) meminta mangsa mendaftar sebagai pelabur baru di satu platform ‘Primus Pacific Partners Biz’,” katanya dalam satu kenyataan.
Hussein berkata, pada peringkat awal mangsa mendapat pulangan berjumlah RM 24,308.48 yang membuatkan mangsa lebih yakin dan kemudian membuat 13 kali transaksi berjumlah RM5.3 juta ke tiga akaun bank berbeza.
“Sebaik transaksi dibuat, mangsa dijanjikan keuntungan mengikut harga pasaran.
“Apabila mangsa ingin membuat pengeluaran wang keuntungan pelaburan, suspek mengarahkan mangsa membayar pelbagai cukai untuk mendapatkan wang terbabit, mangsa berasa ditipu dan mengalami kerugiaan RM5.3 juta,” katanya lagi.