KUALA LUMPUR, 24 Jun - Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes saman difailkan syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Lubnan terhadapnya berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.
Peguam Rajivan Nambiar mewakili Rosmah selaku defendan berkata permohonan yang difailkan pada 7 Jun itu adalah bagi menunggu rayuan anak guamnya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Rosmah untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes saman itu diputuskan Mahkamah Rayuan.
“Pada prosiding di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Norhaina Zulkifli hari ini, mahkamah menetapkan 16 Ogos ini untuk pendengaran permohonan itu secara dalam talian di hadapan Hakim Ong Chee Kwan,” kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.
Global Royalty selaku plaintif memfailkan saman pada 29 Mei tahun lepas, mendakwa Rosmah telah berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.
Global Royalty juga mendakwa isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Syarikat itu pada mulanya menyaman Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntut dia memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih, atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan yang berjumlah AS$14.79 juta.
Bagaimanapun saman itu ditarik balik pada 2019. - BERNAMA