MELAKA, 24 Jun - Seorang deejay kelab malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang tugas polis, pada Jumaat lepas.
Ngo Wei Kian, 26, dituduh menghalang tugas polis dengan memecut kereta yang dinaiki untuk melarikan diri setelah diarahkan oleh seorang pegawai polis di sekatan Jalan Tengkera di sini, pada kira-kira 1.20 pagi, 21 Jun lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar menawarkan jaminan RM6,000 namun peguam tertuduh, Cassian Anthony memohon agar jaminan dikurangkan kerana Ngo tidak mempunyai pendapatan tetap.
Majistret Khairunnisak Hasni membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. - BERNAMA