fb fb fb fb fb

Remaja mangsa rogol bapa dibawa ke lokasi kejadian, cari bukti baharu

Foto Hiasan

REMBAU, 27 Januari- Remaja perempuan yang disyaki dirogol oleh bapa kandungnya di Kendong, di sini, telah dibawa ke lokasi kejadian untuk mencari bukti baharu berhubung kes itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Hazri Mohamad berkata mangsa yang berusia 17 tahun itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata tempoh reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu yang tamat pada hari ini akan dilanjutkan dan pihaknya akan meminta tempoh itu dipanjangkan empat hari lagi. 

"Apabila sudah selesai, kita akan serahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut. Kita bawa mangsa keluar sekejap dari hospital untuk ke lokasi kejadian dia dirogol iaitu di rumahnya.

“Mangsa masih dalam keadaan trauma. Sebelum ini, mangsa tinggal bersama neneknya sejak berusia empat tahun dan berpindah ke rumah bapanya pada Jun 2022,” katanya ketika ditemui pemberita di Pekan Kota, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lelaki itu ditahan kerana dipercayai memukul dan menendang mangsa sehingga cedera selepas remaja itu memaklumkan kejadian rogol itu kepada teman wanitanya.

Hazri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 akta sama serta Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI