PENAMPANG, 27 Januari- Seramai 19 Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Op Bersepadu yang dijalankan bermula 10 malam Jumaat sehingga 2 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, dalam operasi bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 53 individu diperiksa membabitkan 20 lelaki dan 33 perempuan.
“Hasil pemeriksaan menahan 19 PATI kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua individu yang ditahan mengikut kesalahan Seksyen 6 (1) (c) diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata polis akan mempergiat operasi seperti ini dalam usaha untuk mengekang kemasukan dan kebanjiran PATI di dalam daerah ini.
“Polis juga menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak memberikan ruang atau peluang kepada PATI untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian ataupun menyewakan rumah kepada mereka.
“Tindakan menawarkan tempat tinggal atau tempat kerja kepada PATI adalah kesalahan yang menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya.