fb fb fb fb fb

Warga emas rugi RM228,000 terpedaya pelaburan kripto

Foto Hiasan

SEREMBAN, 27 Januari- Seorang warga emas mengalami kerugian RM228,000 kerana terpedaya dengan pelaburan mata wang digital kripto yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim berkata berdasarkan laporan lelaki berusia awal 60-an itu semalam, mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram oleh seorang individu dan terpengaruh untuk menyertai pelaburan mata wang digital kripto menerusi platform ACCERX Hong Kong pada Oktober tahun lalu.

“Pada permulaan, mangsa membuat transaksi pertama berjumlah RM8,000 dan berjaya mendapat keuntungan pelaburan sebanyak RM15,000 yang dimasukkan ke dalam akaun di platform berkenaan.

“Lelaki itu kemudian dipujuk oleh individu itu untuk menambah nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM228,000 melalui 13 transaksi kewangan ke sembilan akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata mangsa kemudian menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran bagi pelaburan yang dibuat atas alasan akaun pengadu terlibat dengan pengubahan wang haram. 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan suspek terlibat.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI