fb fb fb fb fb

Tapak kubur Cina jadi tempat simpan ganja

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam menunjukkan ganja dibungkus dengan balutan emas yang disembunyikan dalam lubang kubur Cina di Mount Erskine di sini.

GEORGE TOWN, 27 Januari- Menyimpan bekalan ganja di tapak kubur Cina berusia 93 tahun menjadi taktik yang digunakan sindiket dadah bagi mengelak dikesan pihak polis.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dibongkar selepas polis menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata menerusi serbuan pertama yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 50 tahun serta rampasan ganja seberat 7.82 gram (g) bernilai RM78.

Hasil soal siasat seterusnya membawa kepada penemuan 45 bungkusan ganja mampat seberat hampir 50 kilogram di sebuah pondok dalam hutan di perkampungan kawasan itu.

Polis kemudiannya menemui 100 bungkusan mampat ganja seberat 102.9 kilogram yang disorok dalam sebuah kubur cina.

"Satu kubur Cina yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah jenis ganja di kawasan Mount Erskine. Hasil pemeriksaan, pihak polis telah berjaya merampas 100 ketulan mampat ganja seberat 10.2 kg yang dianggarkan bernilai RM331,272," katanya.

Hasil siasatan mendapati, kedua-dua lelaki itu dipercayai daripada rangkaian sindiket yang sama dan bergiat aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak Disember lalu.

“Kesemua ganja yang dirampas untuk pasaran Pulau Pinang dan kedua-dua suspek yang merupakan penganggur itu dikatakan aktif dalam kegiatan pengedaran sejak Disember lalu.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah ini diperoleh serta hubungan antara dua suspek tersebut," katanya.

ACP Razlam berkata semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Secara keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM496,656.

ZEHRA BINTI ZAMBRI