KUCHING, 30 April- Seorang remaja perempuan tempatan berusia 15 tahun telah tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang lelaki ketika berada dalam sebuah kenderaan e-hailing di Jalan Camar, Kuching baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang berunsur menghina atau mengganggu ketenteraman, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, ACP Alexson menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Tan Kian Kok di nombor 010-5661576.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.