BINTULU, 30 April – Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup kayu balak haram ke sebuah kilang di kawasan Kemena Industry Estate, di sini, dalam satu operasi Jumaat lalu.
Pengarah JHS, Datu Haji Hamden Haji Mohammad dalam satu kenyataan berkata serbuan sekitar pukul 8.20 malam itu dilakukan hasil rondaan penguat kuasa JHS di lokasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati lima buah lori membawa kayu pelbagai spesies dan saiz tanpa dokumen pemilikan yang sah.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM275,000.
Lima lelaki termasuk empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 96, Ordinan Hutan 2015 (Cap 71).
Jelas Hamden, pihaknya akan terus memperhebat operasi membanteras pembalakan haram di seluruh negeri.