ALOR SETAR, 30 November- Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai ibu kandung kepada bayi perempuan yang ditemui di tepi sawah padi di Kampung Kubang Pangas, Kubang Rotan dekat Kuala Kedah, Kedah, semalam.
Ketua Polis Daerah sini, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, remaja berkenaan ditahan di sekitar Kubang Rotan pada petang hari sama.
Bagaimanapun, remaja tidak bersekolah itu telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkannya mendapat rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya.
Ahmad Shukri berkata, sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semalam, seorang penduduk terkejut selepas menemuikan bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan atas jalan berdekatan kawasan pembinaan jambatan berhampiran sawah padi di Kampung Kubang Pangas.
Mat Zuki Deris, 59, berkata, dia menemukan bayi dipercayai baru lahir itu sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isteri ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi semalam.
Bayi tersebut ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dengan sarung tangan serta diselimut kain lampin.