fb fb fb fb fb

12 kotak daging babi sejuk beku, sekotak daging lembu dirampas di Johor

Antara rampasan daging oleh MAQIS Johor, semalam

JOHOR BAHRU, 30 November- Sebanyak 12 kotak berisi daging babi sejuk beku seberat 120 kilogram dan sekotak daging lembu dengan berat 10 kilogram dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor, semalam.

Rampasan dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini.
 
Pengarah MAQIS negeri, Edie Putra Md Yusof dalam kenyataan memaklumkan, semua daging itu dibawa masuk dari Singapura tanpa permit import MAQIS dan Sijil Kesihatan.
 
Tindakan merampas mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
 
Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA