fb fb fb fb fb

Lelaki dipenjara 6 bulan, denda RM500 kerana kibar bendera Israel

MARANG, 30 November- Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan didenda RM500 atas kesalahan menggantung dan mengibar bendera Israel, bulan lalu.

Hukuman itu akan bermula selepas Harma Zulfika Deraman, 30, selesai hukuman penjara lima tahun atas jenayah dadah mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membuat keputusan itu selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret sini.

Harma Zulfika didakwa mempamer bendera Israel di sebuah bengkel aksesori kenderaan dekat Bukit Payung, 19 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(1)(i) akta sama.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa polis, Asisten Superintenden Othman Ibrahim, manakala Harma Zulfika diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Lelaki itu turut memiliki rekod lampau berkaitan kes narkotik dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan tersebut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA