KUALA LUMPUR, 6 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu termasuk tiga penjawat awam selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan kawasan pembalakan.
Majistret Mohamad Ridhwan Syarizal mengeluarkan perintah reman terhadap kesemua suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi semalam.
Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50-an itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita, ditahan antara pukul 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang di beberapa lokasi di dua negeri di Pantai Timur dan selatan tanah air dalam satu operasi SPRM pada Selasa.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki menerima rasuah berjumlah sekitar RM1 juta bagi kerja-kerja pembalakan sejak tahun 2016.
SPRM turut menyita dua buah kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan bahawa dua individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.