JOHOR BAHRU, 7 Februari- Seorang pengusaha premis ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 325,400 liter minyak sawit mentah, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2.49 juta.
Suspek ditahan di sebuah premis di Air Bemban, Kulai, Johor, pada pukul 10.00 pagi, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata serbuan menerusi Op Taring Landai Khas Tahun Baharu Cina itu dilakukan bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki berusia 46 tahun itu menjadikan premis sebagai stor penyimpanan dan memproses minyak sawit.
Pelbagai barangan dirampas termasuk, sebuah treler, 171 tangki IBC berisi minyak sawit, empat tangki skid, dan dua buah jentera pengangkut (forklift).
Suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak MPOB, bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 dan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPKu).