BUTTERWORTH, 31 Januari - Rampasan pelbagai senjata api di kawasan perairan Perai pada Isnin lepas yang dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, dipercayai untuk dijual kepada geng kongsi gelap.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pendedahan secara terperinci tidak dapat dilakukan pihaknya kerana siasatan sedang dijalankan bagi melengkapkan penyiasatan kes berkenaan.
Namun, polis sudah mengenal pasti sebahagian rangkaian yang terbabit dalam membawa masuk senjata api itu di negara ini termasuk negara jiran.
"Saya mengesahkan bahawa mungkin penglibatan agak besar, jadi saya tidak boleh nak umumkan dengan lebih terperinci. Beberapa organisasi yang gelaplah. Yang kita katakan kongsi-kongsi gelaplah," kata Hamzah.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas ditemui pemberita pada Majlis Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di Sungai Dua.
Media pada Selasa lepas, melaporkan polis menahan empat suspek termasuk dua warga Indonesia berusia 22 hingga 57 tahun yang ditahan berhubung penyeludupan senjata api berkenaan masih direman sehingga 3 Februari depan untuk siasatan lanjut.
Tangkapan ke atas empat lelaki berusia 22 hingga 57 tahun bersama-sama dua bot gentian kaca itu dilakukan unit risikan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban kira-kira pukul 3.10 petang di satu batu nautika dari Barat Daya, Sungai Perai pada Isnin.
Susulan kes ugutan jenayah membabitkan anak seorang menteri kabinet, polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Hamzah berkata, kertas siasatan lengkap telahpun dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum ini dan kini menunggu arahan AGC.
"Kita masih lagi menunggulah, arahan, kita dah hantar siasatan tersebut, jadi buat masa ini kita masih menunggu perkembangan terkini dan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara," katanya.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial sebelum ini.
Terdahulu tular di media sosial, kes melibatkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Perbuatan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama-sama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar dekat Butterworth pada 24 Disember tahun lalu.