KUANTAN, 2 April- Polis Pahang sudah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes lempar bola api di sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap, di sini yang berlaku Sabtu lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, empat individu itu, termasuk pengadu dan saksi dalam kejadian terbabit.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka itu, pihaknya tidak dapat mengenal pasti jumlah suspek yang terlibat.
"Setakat ini kita telah mengambil empat keterangan daripada empat individu. Selain daripada itu kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini.
"Berdasarkan CCTV di tempat kejadian itu melalui CCTV KK Mart kita tidak dapat, tetapi kita akan cuba untuk mendapatkan daripada tempat-tempat lain yang ada merakamkan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita pada Program Pencegahan Jenayah Polis Pahang di bazar Ramadan Mahkota Square, di sini.
Ketika ini pihaknya turut mempertingkatkan rondaan di lokasi yang menempatkan 15 cawangan kedai serbaneka terbabit di Pahang. Ia melibatkan daerah Kuantan dan Bentong.