fb fb fb fb fb

QS didakwa terima rasuah 'Ysuku' dan wang lebih RM14,000

Tertuduh diiringi pegawai SPRM sebaik tiba di mahkamah

KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Seorang juruukur bahan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas sembilan pertuduhan menerima rasuah.

Ini termasuk wang tunai berjumlah RM14,500 dan sebuah motosikal 'Ysuku' sejak 2019 sehingga 2020.

Tertuduh, 52 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Tertuduh selaku juruukur bahan kanan sebuah universiti awam didakwa secara rasuah sebagai dorongan bagi melancarkan tuntutan bayaran interim yang dibuat sebuah syarikat kepada universiti awam berkenaan.

Suapan itu diterima berlanjutan sehingga tahun 2020 dengan nilai keseluruhan RM14,500.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Selain itu, tertuduh turut menerima sebuah motosikal Yamaha Y15ZR di Kampung Mengabang Tengah.

Bagi kesalahan itu tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Pegawai Pendakwa, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE