fb fb fb fb fb

Op Tapis Khas, lima ditahan terlibat sindiket edar dadah bernilai RM1.8 juta

Ketua Polis Johor, CP M.Kumar berkata sindiket menjadikan rumah teres sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah untuk pasaran tempatan

JOHOR BAHRU, 4 Februari - Lima lelaki berumur 17 hingga 31 tahun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM1.8 juta.

Serbuan yang dilakukan menerusi Op Tapis Khas diJohor Bahru dan Iskandar Puteri, pada 29 Januari lalu itu turut merampas 24.870 kilogram pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Johor, CP M.Kumar berkata siasatan mendapati sindiket menjadikan rumah teres sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, hasil siasatan turut mendapati, tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan empat daripada mereka positif dadah.

"23.68 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM1,738,420, 997.40 gram ketamine bernilai RM59,724 katanya," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah M.Kumar, polis turut menyita dua buah kereta bernilai RM25,000 selain peralatan memproses dadah.

Kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, M.Kumar berkata seramai 780 individu dicekup polis dalam dua operasi khas bermula Isnin hingga Sabtu, di seluruh negeri Johor.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 27 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM3.1 juta.

Op Tapis Khas telah dijalankan oleh 175 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Pemeriksaan telah dilakukan ke atas 513 individu.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN