TANAH MERAH, 23 Julai – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pegawai Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) berjaya menumpaskan kegiatan penjualan rokok elektronik (vape) tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Jeli Kelewek, Isnin lalu.
Serbuan yang dijalankan pada pukul 10.15 malam itu adalah sebahagian daripada Op Taring Wawasan Kelantan, hasil risikan serta pemantauan pihak berkuasa.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, pemeriksaan di lokasi mendapati seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun berada dalam premis dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan serta kebenaran menyimpan sah berkaitan cecair dan peranti vape.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 1,242 unit cecair vape dan 36 kotak peranti vape dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM125,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Majlis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 8(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDTM 2019.