GEORGE TOWN, 23 Julai – Seorang penyelia stor berusia 56 tahun kerugian lebih RM624,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi aplikasi Facebook, awal Februari lalu.
Mangsa yang merupakan lelaki tempatan, terpedaya dengan iklan pelaburan tersebut dan kemudiannya memuat turun aplikasi pelaburan dikenali sebagai XGI Horizon bagi menyertai skim berkenaan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, mangsa telah melakukan sebanyak 31 transaksi kewangan ke 10 akaun bank berlainan milik pelbagai syarikat, antara 18 Februari hingga 24 April lepas.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan sebelum kononnya dibenarkan mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis kelmarin, setelah menyedari pelaburan yang disertainya adalah palsu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.