BUKIT KAYU HITAM, 23 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini.
Hasil dua operasi berasingan pada hujung bulan lalu, Kastam Kedah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM188,000.
Pengarahnya, Wan Marini Wan Hamzah berkata, dalam Operasi Barrier pada pukul 10.10 malam, 26 Jun lalu, pasukan Pegawai Kastam Cawangan Collaborated Border Management (CBM) Bukit Kayu Hitam telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori dipandu seorang lelaki di kawasan pemeriksaan kenderaan, Blok E, Cawangan Import Eksport, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan menjumpai kotak yang disorok di bahagian belakang tempat duduk pemandu.
Bungkusan plastik lutsinar dijumpai dan disyaki dadah jenis ganja seberat 18,750 gram bernilai RM57,187.
Siasatan mendapati, sindiket berkenaan menyeludup masuk dadah bersama muatan dagangan sayur-sayuran pada lewat malam dengan andaian tidak akan diperiksa pihak kastam dan akan mendapat pelepasan terus di pintu masuk sempadan negara.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada pukul 4.50 petang, 28 Jun lalu, pihaknya menahan dua beradik lelaki yang memasuki Malaysia dengan menaiki bas ekspress dari negara jiran di Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam.
Hasil imbasan bagasi menemukan beberapa bungkusan mampat yang dibalut dengan plastik hitam dan 15 ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 875.30 gram bernilai RM86,522 serta 87 bungkusan pelbagai saiz ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 14,599.10 gram bernilai RM45,257.
Tegas Wan Marini, pihaknya akan terus memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tersebut boleh menyalurkannya kepada pihak kastam dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.