fb fb fb fb fb

Serbuan komuniti gay berdasarkan risikan sah, bukan semberono- Polis Kelantan

FOTO POLIS KELANTAN

KOTA BHARU, 22 Julai – Polis Kelantan menegaskan serbuan ke atas sebuah perjumpaan tertutup melibatkan komuniti gay di sebuah inap desa di Kota Bharu baru-baru ini adalah berdasarkan risikan sahih, bukan atas dasar diskriminasi terhadap orientasi seksual.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tindakan tersebut diambil selepas pihaknya menerima maklumat tentang penganjuran satu majlis bertajuk “Malam Mesra Komuniti & Santai-Santai” yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dalam kumpulan tertentu.

“Tindakan PDRM bukan dibuat secara semberono. Ia berasaskan bukti dan maklumat risikan sah yang diperoleh menerusi pemantauan rapi dan temubual awam. Fokus kami adalah menjaga ketenteraman awam serta nilai moral masyarakat, bukan untuk menghukum sesiapa atas dasar peribadi,” tegas beliau.

2307 JNY POLIS SERBU GAY4FOTO POLIS KELANTAN

Tambahnya, polis memantau premis sejak pukul 5.00 petang dan menjalankan serbuan hanya pada pukul 1.00 pagi, bagi memastikan keselamatan awam tidak terjejas.

Dalam serbuan itu, seramai 20 lelaki ditemui berada di premis dan mengaku merupakan sebahagian daripada komuniti gay. Tiada pengesahan bahawa program tersebut melibatkan sebarang NGO kesihatan atau pemantauan rasmi daripada agensi kerajaan.

Pemeriksaan lanjut turut menemui beratus kondom dan ubat berkaitan HIV, serta tiga individu memiliki bahan lucah sesama jantina yang membawa kepada pendakwaan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga mereka telah mengaku bersalah dan dijatuhi denda antara RM3,000 hingga RM4,000.

“Kita faham isu ini sensitif, namun keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tetap menjadi keutamaan. PDRM tidak bertindak atas prejudis, sebaliknya berdasarkan tanggungjawab menjaga ketenteraman umum dan mencegah aktiviti tidak bermoral,” jelas Datuk Yusoff lagi.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta terus memberi kerjasama demi keharmonian bersama.

2307 JNY POLIS SERBU GAY3FOTO POLIS KELANTAN

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE