ARAU, 8 Disember- Polis berjaya mematahkan satu sindiket penipuan pelaburan hartanah menerusi serbuan ke atas sebuah syarikat di sekitar kawasan Medan Pekan, di sini, hari ini.
Serbuan berkenaan dibuat susulan penahanan tiga orang pengarah syarikat itu menerusi dua tangkapan berasingan yang dijalankan malam tadi.
Dalam serbuan pada pukul 9 pagi itu berjaya menahan seorang lagi ejen syarikat selain beberapa bahan bukti seperti fail pelanggan, dokumen perjanjian, resit bayaran dan peralatan komputer yang boleh membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata serbuan dilaksanakan rentetan daripada laporan polis diterima melibatkan seorang mangsa yang ditipu setelah menyertai pelaburan ditawarkan syarikat terbabit.
“Tujuan penggeledahan dijalankan hari ini adalah bagi mendapatkan beberapa dokumen penting seperti fail pelanggan, dokumen perjanjian, resit bayaran dan peralatan komputer yang boleh membantu siasatan kes ini.
“Semua suspek yang ditahan adalah berusia 30-an hingga 50 dan dipercayai aktif memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa pelaburan disediakan oleh syarikat itu adalah benar,” katanya selepas serbuan terbabit, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya juga mendapati syarikat itu mempunyai enam cawangan di seluruh Malaysia namun hanya sebuah sahaja yang masih aktif beroperasi dan berpangkalan di Arau.
Katanya, bagi konteks Perlis, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes penipuan pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut dengan jumlah kerugian RM39,000.
“Menerusi serbuan di syarikat itu juga, polis turut merampas 1,255 fail maklumat berkaitan pelanggan dan kami percaya jumlah kerugian itu mungkin lebih tinggi.
“Hasil semakan juga mendapati syarikat itu tidak mendapat sebarang kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjalankan aktiviti perniagaan berbentuk pelaburan di negara ini,” katanya.
Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan buat masa ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.