fb fb fb fb fb

Polis tumpaskan Geng Bri, 22 kes curi dan pecah rumah selesai

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menunjukkan barangan yang dicuri 'Geng Bri' ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah / Foto Bernama

ALOR SETAR, 21 November - Polis Kedah menumpaskan 'Geng Bri' yang aktif menjalankan kegiatan jenayah harta benda sekali gus berjaya menyelesaikan 22 kes kecurian dan pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah Kota Setar dan Pendang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya telah menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai 'Bri’ yang berusia 36 tahun.

Katanya, tangkapan dilakukan secara berasingan iaitu pada 29 Oktober, 2 dan  6 November.

"Kumpulan ini aktif dalam dua ke tiga bulan ini dengan menyasarkan rumah-rumah yang ditinggalkan tidak berpenghuni yang kebanyakannya keluar bekerja dan kesempatan itu digunakan oleh kumpulan ini.

"Selain rumah tidak berpenghuni , turut disasarkan premis perniagaan dan rumah yang dalam pembinaan," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Fisol, polis turut merampas beberapa barang kes yang dilaporkan hilang antaranya dua motosikal, dua kereta, sebuah van dan beberapa barangan yang lain manakala barangan yang tidak ditemui dipercayai telah dijual kepada pihak lain oleh suspek.

Katanya, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan urin mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamin.

" Mereka direman hingga hari ini dan polis akan memohon sambungan reman pada esok,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN