fb fb fb fb fb

Polis terima 19 laporan ancaman bom palsu di sekolah enam negeri

FOTO PDRM

KUALA LUMPUR, 21 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya menerima 19 laporan mengenai ancaman bom di beberapa sekolah melibatkan enam negeri, hari ini.

Ia membabitkan tujuh laporan di Selangor, Kuala Lumpur (5), Johor (3), Pulau Pinang (2) dan masing-masing satu laporan di Perak serta Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan ancaman yang dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama "Taktstorer" itu adalah palsu membabitkan beberapa sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

Jelas beliau, sebaik menerima laporan terbabit, PDRM dengan kerjasama pihak sekolah segera mengambil tindakan pengosongan premis.

Operasi memindahkan pelajar ke lokasi selamat turut dibantu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum semua pelajar dibenarkan pulang.

"Tindakan 'pembersihan keselamatan' bom dilaksanakan secara rapi oleh PDRM di semua lokasi terlibat dan tiada sebarang ancaman dikesan.

"Siasatan mendapati emel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudkan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa," katanya dalam kenyataan.

Razarudin berkata, kedua-dua emel terbabit adalah baru dicipta serta tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.

Kandungan asal emel dikesan dalam Bahasa Inggeris, namun diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia menggunakan aplikasi penterjemahan.

"Emel menggunakan nama 'Taktstorer' itu adalah dari bahasa Jerman bermaksud 'Penganggu Ketenteraman', (ia) dihantar menerusi penyedia perkhidmatan emel Beeble.com," katanya.

Dalam pada itu, PDRM juga mengesan kandungan emel sama turut dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November lalu menggunakan penyedia perkhidmatan emel yang sama.

Katanya, siasatan polis kini turut menjurus sama ada insiden terbabit mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang suspek yang pakar dalam bidang perisian komputer.

"Suspek terbabit dilapor bermasalah kerana dipercayai pernah mengalami penderaan ketika kanak-kanak dan kurang perhatian, namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan menjamin tahap keselamatan pelajar serta guru di seluruh negara.

SITI AISHAH BINTI MD ISA