KUALA LUMPUR, 30 Disember – Polis berjaya menahan tujuh individu daripada Geng Awey dan Geng Alep yang aktif mencuri kenderaan menerusi Op Lejang di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Mohamad Lazim Ismail berkata lima suspek tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun daripada Geng Awey ditahan dalam operasi pertama pada 6 Disember lalu.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam 21 kes curi kenderaan. Pecahan kes adalah 19 di bawah IPD Wangsa Maju, satu di IPD Sentul, dan satu di IPD Cheras. Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Awey dan telah aktif sejak 2016 hingga kini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini.
Polis turut merampas sembilan telefon bimbit dan dua motosikal daripada kumpulan tersebut.
Tambah Mohamad Lazim, dalam operasi kedua pada 17 Disember, dua lagi suspek tempatan berusia antara 17 dan 20 tahun daripada Geng Alep ditahan.
“Salah seorang suspek mengaku terlibat dalam tujuh kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, sementara seorang lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis. Geng Alep aktif di kawasan Wangsa Maju, Sentul, dan Cheras,” jelasnya.
Barang kes yang dirampas termasuk sebuah motosikal Yamaha 135 LC, spanar, dan pemutar skru.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.