fb fb fb fb fb

Peniaga rugi RM252,150, diperdaya 'scammer'

Foto Hiasan

KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Seorang peniaga di daerah Kuala Terengganu berdepan kerugian ratusan ribu ringgit selepas diperdaya 'scammer'.

Mangsa difahamkan mengalami kerugian bernilai RM252,150 akibat ditipu sindiket yang menawarkan tender tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata pada 23 Disember lalu, mangsa seorang wanita berusia 47 tahun telah dihubungi suspek.

Wanita berkenaan ditawarkan peluang menjadi vendor pembekal jubah konvo dan pakaian seragam untuk sebuah kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di negeri itu.

Beliau berkata suspek yang juga seorang wanita memujuk mangsa agar berhubung dengan anggota sindiket lain yang kononnya pembekal vendor terdahulu bagi mendapatkan bekalan pakaian berkenaan.

Mangsa telah bersetuju menerima tender berkenaan setelah melihat sebut harga yang diberikan dan telah membuat lima transaksi bayaran ke lima akaun berbeza bagi pembelian barangan menggunakan wang syarikat berjumlah RM252,150.

Menurut ACP Azli, mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan dengan pihak berkaitan dan mendapati semua pesanan barangan tersebut sebenarnya tidak wujud.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM