fb fb fb fb fb

Polis teruskan siasatan kes khianat api rumah MP Beruas

FOTO BERNAMA

IPOH, 19 Januari- Polis masih meneruskan siasatan bagi menjejak suspek dalam kes khianat api terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Manjung pada 10 Jan lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata setakat ini, tiada tangkapan baharu dilakukan pihak polis bagi kes terbabit.

"Kita masih meneruskan siasatan untuk menjejak suspek, setakat ini tiada (saksi baharu yang dipanggil). Siasatan masih diteruskan, sekarang siasatan (tertumpu) di Perak," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Selasa lepas, lelaki berumur 30-an yang ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api kerana disyaki melontar kediaman Ngeh dengan molotov cocktail dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah dalam satu kenyataan pada hari itu berkata lelaki terbabit akan menjadi saksi sekiranya diperlukan.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran itu menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab. Karim melalui talian 019-3927837 bagi membantu siasatan pihak polis.

Dalam kejadian awal pagi 10 Jan lepas, rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya, manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE