fb fb fb fb fb

Empat tekong dan seorang pengangkut ditahan

Foto Polis

PONTIAN, 19 Januari - Polis Johor berjaya menahan dua tekong darat warga tempatan, dua tekong laut dan seorang 'transporter' (pengangkut) warga Indonesia di kawasan Pesisir Pantai Pontian, Johor kelmarin dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran. 

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib dalam satu kenyataan berkata lima pendatang asing tanpa izin (PATI) lain yang cuba keluar dan masuk Malaysia melalui jalan tidak diwartakan juga ditangkap dalam Operasi Pintas itu. 

"Hasil siasatan mendapati, tekong laut menerima bayaran kira-kira RM1,358 dan menggajikan seorang lagi pembantu mereka dengan bayaran RM151.

"Manakala, tekong darat menerima bayaran daripada PATI RM1,500 hingga RM3,500 seorang dan menggajikan seorang pembantu serta seorang pengangkut," kata Mohammad Shofee.

Turut dirampas, 14 buah telefon bimbit, wang tunai bernilai RM2,950 dan 4,600 rupiah Indonesia, sebuah kereta serta bot yang digunakan sebagai pengangkutan untuk menjalankan aktiviti berkenaan. 

Kesemua suspek berusia diantara 14 hingga 51 tahun disiasat mengikut Seksyen 26A, 26 J Anti Pemerdagangan Orang dan Anti  Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.  

TETITIA YUSOFF