SUNGAI PETANI, 19 Januari-Tindakan nekad tiga lelaki melarikan peti sejuk beku dari sebuah dewan makan dekat Kampung Telok, Sungai Jagung di Sungai Petani dengan menaiki dua buah motosikal gagal apabila disedari pemilik barangan terbabit.
Pemilik itu bagaimanapun menyedari kejadian setelah dihubungi seorang rakan bertanyakan sama ada telah mengupah seseorang untuk mengeluarkan peti ais terbabit, namun dinafikannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mengesahkan kejadian dilaporkan berlaku di dewan terbuka dan berpagar di kampung itu pada jam lebih kurang 11.50 pagi Khamis.
Menurutnya, seorang kenalan pemilik telah bertanya sama ada menyuruh mana-mana pihak untuk mengeluarkan barang dari dewan makan tersebut yang sering disewa untuk majlis perkahwinan.
Katanya setelah dimaklumkan kejadian itu pemilik bergegas ke lokasi namun semasa dalam perjalanan, telah terserempak seorang lelaki yang dilihat curiga sedang membawa peti berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian manakala dua lagi melarikan diri.
Jelasnya, susulan itu seorang penganggur berusia 43 tahun telah ditahan.
Tangkapan dan rampasan telah dibuat oleh anggota polis menaiki MPV.
Semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Menurut Zaidy, polis sedang memburu dua lagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.