fb fb fb fb fb

KDN sita 3,254 unit jam dinding digital bernilai lebih RM1 juta

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof menunjukkan jam dinding digital yang dirampas

 PUTRAJAYA, 19 Januari- Sebanyak 3,254 unit jam dinding digital mengandungi audio 30 juzuk Al-Quran dengan fungsi azan yang dijual tanpa kelulusan disita Kementerian Dalam Negeri menerusi serbuan di empat premis di sekitar Lembah Klang pada hujung bulan lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata nilai kesemua jam yang disita dianggarkan berjumlah RM1.1 juta.

"Mana-mana penerbitan al-Quran dalam apa juga bentuk yang mengandungi satu juzuk ke atas perlulah mendapat perakuan KDN yang mana proses semakan pakar akan dibuat terlebih dahulu sebelum perakuan dikeluarkan yang akan membolehkn al-Quran tersebut dijual atau dimiliki atau diimport masuk ke negara kita,"katanya.

Beliau berkata, empat lelaki warga tempatan lingkungan umur 30 hingaa 40 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 iaitu tiada perakuan KDN.

Jelas Nik Yusaimi, jam dinding digital yang dirampas itu didapati mempunyai kesalahan teknikal audio bacaan al-Quran seperti bacaan secara berulang-ulang, bacaan bercampur aduk dengan laungan azan dan terjemahan bahasa lain tidak menepati penggunaan terjemahan di Malaysia yang berpandukan tafsir pimpinan Ar-Rahman.

Katanya, produk yang diimport dari China itu dijual melalui platform e-dagang dan media sosial dengan harga RM350 hingga RM600 seunit.

"Kawalan ini perlu bagi menjamin kesucian al-Quran yang betul untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia bagi mengelak kekeliruan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam,"katanya.

KDN masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang termasuk pihak yang bekerjasama dengan platfrom e-dagang untuk menyekat penjualan jam digital ini.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 952 pruf akhir teks al-Quran termasuk al-Quran elektronik dan digital yang telah diluluskan KDN untuk jualan dan edaran di Malaysia.

KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan al-Quran yang menyalahi akta ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian aduan 03-80008000 atau hotline 88893145, atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE