JITRA, 1 Oktober- Pencarian jasad pesara Felcra Sabari Baharom, 62 tahun yang dibunuh sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Wang Tepus, Jitra, Kedah diteruskan hari ini.
Operasi melibatkan Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu bermula 9 pagi tadi.
Radius pencarian diperluas kepada 12.8 kilometer sepanjang sungai bermula dari Jambatan Kampung Empa, Derang, iaitu lokasi mangsa dipercayai dicampak.
Sementara itu, isteri mangsa,Subhiah Roslina Shahibi, 57,menyifatkan tindakan suspek terhadap suaminya sebagai kejam.
Ujarnya, beliau reda dengan apa yang terjadi dan mengharapkan hukuman setimpal dikenakan kepada suspek terlibat.
"Apa yang kita tunggu selama 26 hari sudah terjawab. tunggu orang berharap sekurang-kurangnya meninggal ada ada kuburnya.
"Pada saya harap hukuman yang dikenakan biarlah setimpal atas apa yang dia (suspek) buat ke atas suami saya itu", katanya yang ditemui media di lokasi pencarian berdekatan Jambatan Loji Rawatan Air Pelubang, di sini.
Semalam, polis mengesahkan mangsa telah dibunuh sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh turut mengesahkan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat Lalu.
Mangsa dipercayai hilang sejak 4 September lalu dan kereta dinaiki mangsa kemudiannya ditemukan hangus di Belantik, Sik.
Kehilangan bekas pegawai kewangan itu disedari anaknya selepas telefon bimbit mangsa dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang daripada akaun bank milik mangsa.