SEREMBAN, 1 Oktober- Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya merampas 27,035 unit alat mainan seks yang dianggarkan berjumlah RM1.3 juta.
Kesemua rampasan adalah hasil operasi yang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, keseluruhan alat mainan seks tersebut dianggarkan seberat 5,800 kilogram kemudiannya dilupuskan, hari ini.
Jelasnya, alat mainan seks adalah bentuk penerbitan yang dilarang di negara ini kerana berlawanan dengan nilai budaya masyarakat dan dikhuatiri boleh membawa pengaruh negatif kepada golongan muda.
"Dalam kes ini alat mainan seks ini menimbul rasa tidak selesa masyarakat tentang kewujudannya di pasaran, di dalam platform e-dagang dan dalam pelbagai medium sosial yang ditawarkan kepada umum.
"Tindakan berterusan pihak kerajaan atau KDN akan dilakukan secara lebih tegas dan serius sehingga perkara ini boleh dibanteras dan semua masyarakat memberi kerjasama dalam kita menangani isu seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelupusan Ekshibit Bawah Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 di Seremban.
Pelupusan yang dijalankan adalah melalui kaedah dimusnahkan sehingga alat mainan seks tersebut tidak berbentuk seperti asal dan tidak berfungsi.