fb fb fb fb fb

Polis terima laporan amang seksual terhadap kanak-kanak di ibu negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan berhubung kes amang seksual terhadap kanak-kanak yang dipercayai berlaku di kawasan Kampung Pandan, di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Lazim Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan tersebut diterima pada 16 Disember lalu kira-kira pukul 4.16 petang, melibatkan seorang suspek lelaki yang disyaki melakukan perbuatan amang seksual ke atas kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

"Mangsa merupakan pelajar di sebuah Sekolah Rendah Agama di kawasan berkenaan.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti suspek serta mengumpul keterangan," menurut kenyataan itu.

Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI