PUTRAJAYA, 18 Disember - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan menerima 1,920 aduan setakat ini, berhubung kes tular kematian kucing dan anjing di sebuah klinik haiwan di Damansara Damai.
Kenyataan DVS Selangor memaklumkan pemeriksaan telah dijalankan di premis terbabit susulan laporan berkenaan.
"Pemeriksaan Pegawai Kebajikan Haiwan mendapati satu karkas kucing dan satu karkas anjing ditemukan dalam sangkar berasingan.
"Kedua-dua karkas berkenaan dihantar ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi, Sepang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,"menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, DVS Selangor telah mengambil tindakan lanjut dengan memanggil individu yang disyaki bagi memberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Siasatan yang dijalankan turut mengambil kira rakaman video yang tular di media sosial.