fb fb fb fb fb

Polis Terengganu pantau gerakan hidupkan semula ajaran Ayah Pin

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Tiada sebarang petunjuk dikesan mengenai usaha untuk menghidupkan semula ajaran Ayah Pin di Hulu Besut ketika ini.

Sehubungan itu orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan memberi jaminan pemantauan dan penguatkuasaan akan diambil segera sekiranya menerima laporan berhubung perkara itu supaya ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Kita minta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan jangan terus ke muat naik di media sosial supaya tidak mengganggu yang boleh menyebabkan kerisauan kegusaran ketenteraman awam berkait isu 3R (agama, kaum, diraja).
 
"Saya nasihatkan supaya berhenti gembar gemburkan isu ini sebab kita di pihak penguatkuasaan undang-undang akan buat pemantauan," katanya kepada media selepas mengadakan pemantauan di perkampungan Ayah Pin di Hulu Besut hari ini.
 
Turut serta Jabatan Agama Islam dan pemimpin kerajaan negeri.
 
Ketika ini aktiviti di perkampungan Ayah Pin terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
 
Untuk rekod, kawasan persendirian seluas 2 hektar itu dihuni lebih 150 penduduk dengan 38 unit rumah kediaman.

Sebelum ini, satu hantaran pada akaun Facebook 'Imam Muda Kulan' mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan semula pihak tertentu di sekitar Besut.
 
Mengikut rekod, fatwa ajaran sesat Ayah Pin diwartakan haram pada 1997.
 
Mengulas lanjut, pihaknya akan meneliti dari semua sudut hantaran yang dibuat dan pemilik akaun itu akan dipanggil untuk memberi keterangan sekiranya perlu.
 
Sementara itu, jabatan hal ehwal agama Terengganu akan terus mengambil pendekatan dengan menjalankan sesi kaunseling, menitikberatkan soal kebajikan dan pendidikan mereka terlibat.
 

GRACE AISYAH KEDAYAN