fb fb fb fb fb

KPDN Pulau Pinang rampas topi keledar tiruan bernilai lebih RM70,000

Antara topi keledar tiruan yang dirampas KPDN Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 14 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya merampas topi keledar tiruan pelbagai model dalam serbuan di sebuah premis dekat Bukit Mertajam.

Kesemua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM 70,240 iaitu sebanyak 268 unit terdiri daripada model seperti Nakkano Shukiken Silver, Black Samurai dan Oriental Blue dipercayai menggunakan tanda karya seni ARAI.

Pengarahnya, S Jegan menerusi kenyataan berkata, pihaknya bertindak atas risikan dan maklumat dari pemilik hak cipta berhubung penjualan barang salinan langgaran karya seni Akta Hak Cipta 1987.

Kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih RM 20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, bagi kesalahan berikutnya didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

ROSLINA BINTI DIN