LABUAN, 18 Mac - Tiga anggota penguat kuasa agensi kerajaan mengaku tidak bersalah atas dakwaan rasuah di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini membabitkan jumlah keseluruhan RM2,000.
Seorang anggota penguat kuasa tersebut dikatakan telah cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM500 daripada orang awam sebagai suatu dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan telah melanggar syarat sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP).
Sementara itu, dua anggota penguat kuasa dikatakan telah secara rasuah menyetuju terima untuk diri mereka wang tunai berjumlah RM1,500 daripada orang awam sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Hakim Yang Arif Tuan Jason Juga, membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan deposit RM2,000 pasport dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Ketiga-tiga tertuduh diperintahkan melapor diri ke SPRM terdekat dua bulan sekali dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Hakim menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes.