fb fb fb fb fb

Polis Terengganu lupus barang kes bernilai RM741,500

FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober- Polis Terengganu hari ini melupuskan barangan kes Jabatan Siasatan Jenayah bernilai hampir RM741,500.

Kesemua barangan kes tersebut bagi tempoh 2010 hingga 2023. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pelupusan barang kes itu membabitkan kes jenayah am, rokok, kontraban, peralatan bit coin dan perjudian. 

Secara keseluruhannya 291 kertas siasatan dari tujuh daerah dibuka. 

Barangan kes yang dilupuskan itu mendapat perintah Pemusnahan atau Pelupusan Barang Kes mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang dilakukan menggunakan kaedah E-sisa dan jalan sisa besi serta pepejal. 

"Barangan yang dilupuskan melibatkan 523 unit barang kes am, 11,898 unit karton rokok berkait kes kontraban, 220 unit komponen bit coin serta 23 unit barang kes perjudian yang melibatkan keseluruhan sebanyak 291 kertas siasatan dari tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan pelupusan barang kes jabatan siasatan jenayah Terengganu bil1/2024 di Kuala Terengganu. 

Mengulas lanjut beliau berkata, 1,272 kes jenayah indeks dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September lalu. 

Penyelesaian Jenayah Indeks bagi tempoh sama pula adalah 974 kes iaitu 76.57 peratus melebihi sasaran ditetapkan.

Manakala kadar pertuduhan adalah 52.16 peratus juga melebihi sasaran ditetapkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE