KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Seorang lelaki warga Nepal yang cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Rawang Selasa lalu dipercayai terlalu merindui anaknya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor menerusi satu kenyataan memaklumkan, siasatan mendapati suspek berusia 38 tahun itu mempunyai dua anak yang lebih kurang sebaya dengan mangsa.
“Oleh kerana rindu, dia mula berkelakuan sedikit tidak siuman. Kali terakhir dia balik ke Nepal untuk berjumpa anak dan isterinya ialah sekitar Hari Raya Aidilfitri 2023.
“Suspek dirujuk ke bahagian psikiatri Hospital Sungai Buloh dan polis sedang menunggu keputusan. Polis sedang menyemak dengan Jabatan Imigresen Malaysia berkenaan pas keluar masuk dan pas lawatan kerja sementara suspek,” katanya.
22 Oktober lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris diculik seorang lelaki warga Nepal yang menyamar sebagai tukang cuci ketika berada di rumahnya di Kampung Buaya Raya Kuang, Rawang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.