fb fb fb fb fb

Polis tembak mati penjenayah solo kes samun tiga negeri

Polis Pulau Pinang tembak mati penjenayah dengan 16 jenayah lampau tengah malam tadi

BUKIT MERTAJAM, 31 Disember- Polis Pulau Pinang menembak mati seorang penjenayah dikehendaki selepas indisen berbalas tembakan di Sungai Lembu, sini, kira-kira pukul 12.35 tengah malam tadi.

Kejadian itu melibatkan seorang lelaki bersenjata api yang terbabit kes samun, pecah rumah dan premis di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek, 44, yang dalam keadaan mencurigakan telah diminta menghentikan kenderaan oleh sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, dia terus memecut laju serta melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum terbabas dalam aksi kejar mengejar itu.

"Suspek kemudian keluar dari kenderaan dan mengacukan pistol ke arah pegawai D9 (Jenayah Berat) JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) dan bagi mempertahankan diri, kita juga melepaskan tembakan ke atas penjenayah itu.

"Semakan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor plat (pendaftaran) palsu yang pernah digunakan dalam dua kejadian samun di SPU (Seberang Perai Utara) awal bulan ini," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini.

Siasatan mendapati suspek melakukan jenayah samun secara solo (sendirian) dan menggunakan pistol bagi menakutkan mangsa sebelum membawa lari pelbagai barangan berharga.

"Kita percaya penjenayah ini seorang yang amat berbahaya dan memiliki senjata api jenis pistol semi-auto.

"Mengikut rekod, suspek sebelum ini pernah melakukan samun di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dan kita akan buat semakan sama ada dia juga terlibat dengan kes aktiviti jenayah sama di negeri jiran seperti di Kedah dan Perak dengan menggunakan modus operandi yang sama," katanya.

Semakan juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes samun, kesalahan dadah, kes akta senjata serta bahan kakisan serta pernah dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat (EO).

Khaw berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

 

3112 TEMBAK PENJENAYAH 2
Mayat penjenayah yang ditembak mati di Pulau Pinang, tengah malam tadi

SITI AISHAH BINTI MD ISA