fb fb fb fb fb

Polis siasat kes tular anggota tentera didakwa pukul isteri

Tangkap layar video tular/X @MALAYSIAVIRALL

KUALA LUMPUR, 31 Disember- Polis Melaka sedang menyiasat satu kes membabitkan seorang anggota tentera didakwa memukul isterinya di Sungai Udang, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Polis Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita, 38, berhubung kejadian yang berlaku pada 15 Disember lalu.

"Wanita itu mendakwa telah dipukul oleh suaminya seorang anggota tentera berusia 25 tahun bertugas di sebuah kem di Sungai Udang, Melaka.

"Lelaki itu telah dipanggil untuk rakaman keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Zainol Samah berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kes tersebut tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi 32 saat.

Ia dikongsi pengguna @MALAYSIAVIRALL di aplikasi X menunjukkan seorang wanita menjadi mangsa pukul suaminya dan pergaduhan pasangan berkenaan berlaku di hadapan jiran. 

SITI AISHAH BINTI MD ISA