KLUANG, 11 Februari – Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis, di sini malam tadi kerana dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di sebuah kediaman di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata kejadian berlaku pada pukul 12:17 tengah hari, membabitkan sepasang suami isteri sebagai mangsa, namun tiada kecederaan dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati tiga lelaki menaiki sebuah kereta sedan memasuki halaman rumah mangsa sebelum salah seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah pasangan itu. Suspek kemudian melepaskan empat das tembakan sebelum melarikan diri dan melepaskan dua das tembakan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan di lokasi mendapati tembakan dilepaskan ke arah bawah dan mengenai bingkai pintu rumah serta meja di ruang garaj.
Menurut Bahrin, suspek yang ditahan mempunyai 27 rekod jenayah termasuk kes narkotik, selain didapati positif methamphetamine.
Polis kini giat mengesan tujuh lagi suspek yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.